Friday, March 25, 2016

Nikah Gantung, Nikah Siri dan Nikah Misyar

Dah agak ramai pasangan yang menghubungi saya dengan tujuan nak nikah gantung atau nikah khitbah di Thailand. Tapi, bila ditanya beberapa soalan, jawapan yang saya terima menunjukkan bahawa mereka sebenarnya ingin nikah siri atau nikah misyar, bukan nikah gantung.

Jadi, marilah kita fahami perbezaan di antara maksud nikah gantung, nikah siri dan nikah misyar. Sebenarnya, proses nikah gantung, siri atau misyar, samada nikah di Thailand, di Malaysia atau di mana pun, sama saja. Semuanya kena mematuhi syarat-syarat sah nikah. Semuanya kena ada wali yang sah, saksi, pengantin lelaki, pengantin perempuan dan ijab-kabul. Perbezaan nama tu cuma timbul disebabkan cara upacara nikah berlangsung atau cara hidup selepas nikah.

Nikah Gantung

Nikah gantung atau nikah khitbah bermasud pasangan yang nikah secara sah, tapi selepas nikah mereka tak adakan (tangguhkan) majlis kenduri kahwin, mereka tak tinggal sebumbung dan mereka tak bersetubuh bagi jangkamasa tertentu. Ungkapan nikah gantung tak ada dalam Islam. Ia cuma istilah tempatan di Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan Selatan Thailand.

Nikah gantung tidak dirahsiakan dari keluarga atau Kerajaan. Yang menikahkan ialah wali atau wakil wali pengantin perempuan, sama seperti pernikahan biasa.

Oleh kerana mereka belum tinggal bersama dan belum bersetubuh, pasangan yang nikah gantung  boleh terlepas dari tanggungjawab pasangan suami-isteri biasa. Contohnya, suami belum perlu memberi nafkah kepada isteri, atau menyediakan tempat tinggal, atau bertanggungjawab ke atas makan-pakai isteri. Ini membuatkan nikah gantung sangat sesuai bagi pasangan pelajar dan lebih baik dari bertunang. Pasangan boleh berdua-duaan tanpa melanggar hukum syarak.

Sekiranya pasangan yang nikah gantung mengadakan kenduri kahwin atau tinggal serumah atau melakukan hubungan seks, maka pernikahan itu tidak lagi dipanggil nikah gantung dan pasangan itu harus bertanggungjawab sepenuhnya terhadap satu sama lain, seperti pasangan yang nikah biasa. 

Nikah Siri 

Berbeza dari nikah gantung, nikah siri ialah nikah yang dirahsiakan, samada dari pengetahuan wali nasab atau dari pengetahuan Kereajaan di tempat nikah. 

Ada kalanya, nikah siri menjadi tak sah sebab jarak tempat nikah tak cukup jauh dari tempat wali nasab berada masa nikah berlangsung.

Dalam kes nikah tanpa pengetahuan Pejabat Agama,  kalau wali nasab yang menikahkan, maka nikah itu biasanya sah. Cuma tak dapat surat nikah. Tapi kalau nikah di sempadan dalam kawasan Malaysia, dengan membawa masuk orang Siam sebagai wali hakim, maka nikah tu tak sah mengikut hukum syarak. Wali hakim tu tak sah! 

Kalau nikah di Malaysia, Kerajaan Malaysia saja yang boleh lantik wali hakim. Kalau tidak, orang tu tak sah menjadi wali hakim di Malaysia (walaupun dia sah menjadi wali hakim di Siam). 

Nikah Misyar 

Nikah misyar juga tak sama dengan nikah gantung. Contohnya, kalau pasangan yang nikah gantung bersetubuh, maka nikah tu tidak lagi dipanggil nikah gantung dan isteri berhak menuntut haknya dari suami, seperti nafkah, tempat tinggal dan sebagainya

Dalam nikah misyar, isteri bersetuju melonggarkan tanggungjawab suami, dan suami juga bersetuju melonggarkan tanggungjawab isteri. Contohnya, isteri bersetuju bersetubuh dengan suami tapi suami tak perlu menyediakan tempat tinggal untuknya. Pernikahan ini sesuai untuk wanita yang berkemampuan hidup sendiri tanpa memerlukan duit belanja dari suami dan tidak mahu terikat dengan kehadiran suami setiap masa.

Namun begitu, dalam nikah misyar, isteri berhak menarik balik kelonggaran yang dia bagi kepada suami dan dia boleh menuntut dari suami hak sepenuhnya sebagai isteri. 

Rumusan 

Jadi, yang nikah di Thailand tu nikah gantung atau nikah siri atau nikah misyar? Semuanya bergantung kepada cara hidup selepas nikah.

No comments:

Post a Comment