Tuesday, October 8, 2019

Cerai Talak Tiga dan Nikah Cina Buta

Ramai juga, rupanya, lelaki yang melafazkan talak tiga kepada isteri, kemudian gila talak.  Nak nikah semula dengan isteri. Sanggup melakukan cina buta, walaupun cina buta dilaknat oleh Nabi. Setiap bulan saya terima dua atau tiga panggilan dari suami atau isteri yang bertanya tentang cara nak nikah cina buta selepas bercerai talak tiga. Jadi, kita bincang sedikit isu talak tiga dan cina buta ni.

TALAK TIGA

Jatuh talak tiga bila suami menyatakan kepada isteri, "Aku ceraikan kamu dengan talak tiga" atau ayat yang jelas dan sama maksud dengannya, tanpa dipaksa.

Perkataan paksa ni perlu kita huraikan sikit.

Kalau isteri berkata "Ceraikan aku! Ceraikan aku! Ceraikan aku!" dan terus bising tak sudah, itu bukan paksa. Itu cuma desak. Tapi kalau isteri pegang pistol, hala kepada kita dan kata "Ceraikan aku kalau nak hidup", itu baru paksa. Paksaan cuma berlaku kalau ada akibat yang sangat buruk kalau kita tak ikut.

Jadi, kalau dipaksa, tak jatuh talak. Kalau cuma didesak, jatuh talak.

Talak tiga juga boleh jatuh melalui taklik. Contohnya, suami bertaklik kepada isteri, "Kalau awak buat bla bla bla, jatuh talak tiga". Kemudian, isteri buat apa yang suami larang tu, maka jatuh talak tiga.

Ada juga suami yang bertaklik ke atas diri sendiri. Contohnya, "Kalau aku buat lagi bla bla bla, jatuh talak tiga". Kemudian, suami lakukan lagi. Maka jatuh talak tiga.

TAPI, kalau suami kata "Aku ceraikan kamu! Aku ceraikan kamu! Aku ceraikan kamu!", cuma jatuh satu talak, bukan tiga.

Sebabnya senang saja: Bila suami kata "Aku ceraikan kamu" kali pertama, dah jatuh satu talak. Perempuan yang depan mata dia tu bukan lagi isteri dia. Itu adalah janda dia. Dia tak boleh talakkan perempuan yang bukan isteri dia. Ungkapan "Aku ceraikan kamu" kali kedua dan ketiga tak menjatuhkan talak sebab tak ditujukan kepada isteri lelaki itu. Kata-kata itu cuma ditujukan kepada janda lelaki itu. Tak ada kesan!

NIKAH CINA BUTA

Nikah cina buta terjadi apabila seorang isteri, yang diceraikan dengan talak tiga oleh suaminya, berkahwin dengan seorang lelaki (cina buta) yang akan menceraikannya setelah bersetubuh dengannya, dengan niat untuk membolehkan perempuan itu nikah semula dengan suami asalnya. Kemudian, lelaki (cina buta) itu menceraikan isterinya seperti dirancang.

Ibrahim an-Nakha'i berkata,
"Jika niat salah satu dari tiga orang, suami yang pertama, suami yang terakhir, atau wanita itu adalah untuk "tahlil" (cina buta) maka pernikahan yang terakhir itu batal (tidak sah), dan wanita itu tetap tidak halal untuk suaminya yang pertama"
(Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah (4/295) dan Sa'id bin Manshur (1994)).

Selagi pasangan cina buta dan perempuan itu tak bercerai, nikah itu adalah sah. Tapi, kalau bercerai dengan niat untuk membolehkan perempuan itu berkahwin semula dengan suami asal,  lalu terjadi nikah cina buta, nikah itu tak sah dan tak membolehkan perempuan itu berkahwin semula dengan suami pertamanya.

Lelaki yang terlibat, termasuk suami pertama dan suami kedua, dilaknat oleh Rasulullah. Kalau dah dilaknat tu, apa harapan untuk masuk syurga??

Kalau dah bercerai talak tiga, lupakan sajalah niat untuk rujuk semula, sehingga perempuan terlibat dah berkahwin dan bercerai bukan dengan niat nak rujuk semula dengan suami pertama.

Ada soalan? Silakan bertanya.

No comments:

Post a Comment