Friday, September 20, 2013

Nikah Thailand : Laporan Harian Metro

Harian Metro hari ini (20 September 2013) melaporkan: "Kewujudan agensi yang menawarkan pakej pernikahan secara terbuka di laman-laman web dipercayai menjadi punca banyak pasangan dari Malaysia bernikah di negara Thailand". Tidak pulak disebut siapa yang mempercayai begitu, atau atas fakta apa agensi dituduh sebegitu rupa.

Mungkin penulis Harian Metro itu tidak tahu bahawa masalah nikah di sempadan Siam telah wujud sejak berpuluh tahun lalu, sedangkan laman web agensi nikah di Thailand tidak banyak sehingga 3 atau 4 tahun yang lalu.

Hakikatnya, jika sesuatu pasangan telah membuat keputusan untuk nikah, mereka akan mencari jalan untuk nikah. Apa yang biasa terjadi pada masa dulu ialah pasangan akan pergi ke sempadan untuk nikah, kemudian bertanya pemandu teksi atau orang tempatan, di mana mereka boleh nikah di Thailand. Akibatnya, ramai diantara pasangan ini yang nikah di belakang kedai, di bawah pokok, di rumah seseorang yang mengaku imam, dan sebagainya.

Mereka akan menerima sijil nikah yang entah sah entah tidak. Tapi mereka tak tahu, dan mereka pulang ke Malaysia menyangka bahawa mereka telah nikah di Thailand dengan sah.

Kebanyakan pernikahan ini tidak dilaporkan di Konsulat Malaysia di Songkhla dan tidak didaftar di Malaysia. Ramai juga yang cuba untuk mendaftar di Malaysia, hanya untuk diberitahu bahawa pernikahan mereka tidak sah.

Apa yang dilakukan oleh agensi-agensi nikah Thailand ialah memberi kesedaran kepada pasangan yang ingin nikah di Thailand supaya melangsungkan pernikahan di Pejabat Agama (Majlis Agama) yang sah di Selatan Thailand, dan tidak menggunakan khidmat sindiket nikah haram. Dengan cara ini, bilangan pasangan yang nikah melalui sindiket nikah haram di Selatan Thailand telah berkurangan dan lebih ramai pasangan yang mendaftarkan nikah mereka di Konsulat Malaysia di Songkhla, Thailand, sebab dibawa ke sana oleh agen.

Sekiranya agensi-agensi nikah di Selatan Thailand ini ditutup, bilangan pasangan yang nikah di sempadan tidak akan berkurangan, tapi sudah tentu kita akan mengalami keadaan lama dimana ramai pasangan dari Malaysia akan tertipu oleh sindiket nikah haram di sempadan Malaysia - Thailand, sebab tak ada siapa yang menunjukkan jalan yang betul kepada mereka.

Rekod pejabat-pejabat agama di Selatan Thailand akan menunjukkan tidak berapa ramai pasangan Malaysia yang nikah di sana (sebab ramai yang dinikahkan oleh sindiket nikah haram) dan rekod Konsulat Malaysia di Songkhla akan menunjukkan bahawa bilangan pasangan yang nikah di Thailand telah berkurangan, sebab ramai yang tidak akan mendaftarkan pernikahan mereka dengan Konsulat itu - seperti apa yang berlaku dulu.

No comments:

Post a Comment